10 AMALAN YANG TERBALIK
Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan
menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati
amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan
dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau
terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan
dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri aruah beberapa malam yang
dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua,
ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh
Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan
untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan
belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir
makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim
yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum
dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus
(kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa
bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi
makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak
berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi
sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah
panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara
kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di
rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju.
Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan
di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan
kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan
apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat
rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat
banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk
mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu
termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa
dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan
di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya
perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan
orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari
Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah
kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak
bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita
mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau
anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun
banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang
pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari
Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali
hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir
belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya
lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak
lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak
kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap
diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid)
tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak
malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah
samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di
rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk
suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini
membuatkan rumah tangga kurang bahagia.
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah
kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada
kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan
yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah
yang menentukan peraturan hidup kita.